Thursday, March 5, 2009

Bagaimana anda boleh mengenal pasti keaslian produk organik

Terlebih dahulu tujuan catatan ini bukan untuk merendah-rendahkan sesiapa, tetapi cuma untuk rujukan umum bagi operator yang terlibat dalam sektor organik di Malaysia dan juga para pengguna.

Apakah produk organik? Mungkin ramai yang tidak tahu dan mungkin ada yang tahu tetapi cuma terbatas kepada "baja organik" sahaja. Sebenarnya produk organik lebih luas daripada tanggapan umum, ia meliputi bukan sahaja bahan makanan tetapi juga kosmetik, pakaian, dll.
Dari segi bahan makanan ia merangkumi semua jenis tanaman makanan, haiwan ternakan, akuakultur, hasil hutan, ubat-ubatan atau makanan kesihatan sampingan/tambahan. Manakala dari segi kosmetik pula antara produk yang boleh diberikan status organik adalah seperti syampu, pembersih muka, sabun, alat solek, dsb. Pakaian pula dianggap organik jika benang dan pewarna yang digunakan adalah menepati piawaian organik. Ketika ini banyak pengeluar pakaian bayi di barat terutamanya menggunakan benang organik. Malah pengeluar jeans Levi's sendiri mengeluarkan jeans menggunakan benang organik.

Di Malaysia, tidak ada undang-undang yang mewajibkan peniaga produk organik untuk mendapatkan sijil pengesahan organik sebelum memulakan perniagaan dalam bidang ini. Oleh itu agak sukar untuk mengesahkan keaslian produk-produk tersebut. Ini tidak bermaksud bahawa para peniaga mempunyai niat untuk menipu pelanggan mereka cuma lebih elok jika pelanggan tahu hak mereka dalam membuat pilihan. Malah jika peniaga atau petani tertentu sudah memang diketahui umum sebagai peniaga atau petani organik yang jujur oleh masyarakat disekelilingnya tidak ada sebab mengapa beliau perlu mendapatkan sijil pengesahan organik melainkan jika beliau ingin menjual produknya keluar daripada kawasan dimana beliau dikenali umum.

Jika anda ingin membeli produk organik di pasaraya atau kedai-kedai organik kaedah paling mudah untuk mengenalpasti keaslian produk organik ialah dengan melihat logo pengesahan organik yang tercetak pada label produk tersebut. Logo seperti ini hanya diberikan kepada pengeluar atau petani yang telah diperiksa oleh badan-badan persijilan tertentu dan telah disahkan sebagai mematuhi piawaian organik yang ditetapkan. Terdapat banyak logo organik di dunia berdasarkan badan persijilan yang mengeluarkannya. Contohnya adalah seperti yang diberikan dibawah:

Nota: Semua logo di atas adalah logo pengesahan organik kecuali logo OAM (baris pertama, logo ke-6). Logo tersebut adalah logo korporat OAM.

Jika satu atau lebih daripada logo-logo yang tertera di atas dicetak pada label produk organik ini bermaksud pengeluar produk tersebut telah pun diperiksa dan disahkan mematuhi piawaian organik oleh badan persijilan organik.

Jika pada label produk organik yang anda lihat cuma ada kenyataan seperti yang tertera dibawah, pengeluar produk tersebut kemungkinan besar tidak mendapat sijil pengesahan organik dari mana-mana badan persijilan organk:
  1. "certified by [nama badan persijilan]"
  2. "certified against [nama piawaian] by [nama badan persijilan]"
  3. "certified organik product of [nama negara asal pengeluar]"
  4. "[nama badan persijilan] certified this product as organic agains [nama piawaian]"
Jika anda menemui produk yang ada tidak pasti sama ada organik atau tidak apa yang anda boleh lakukan ialah:
  1. Beli produk yang anda pasti pengeluarnya telah pun mendapat sijil pengesahan organik.
  2. Hubungi pengeluar untuk memastikan sama ada mereka telah mendapat sijil pengesahan organik.
  3. Hubungi badan persijilan yang dinyatakan pada label produk tersebut untuk pengesahan.
Penggunaan mana-mana logo di atas tanpa terlebih dahulu mendapat pengesahan organik dari badan persijilan yang berkenaan merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang dan pengeluar produk yang menggunakan logo tersebut boleh didakwa atas kesalahan;
  1. melanggar hak cipta terpelihara ke atas logo-logo tersebut oleh badan-badan persijilan;
  2. cuba mengelirukan pelanggan dengan maklumat yang tidak tepat.

No comments:

Post a Comment